Seperti yang diketahui umum, sejarah Kesultanan Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang yang memerintah pada tahun 1400 hingga 1424.
Melaka memperoleh namanya sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja.Melihatkan kejadian itu, Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai negeri Melaka.
Kini Melaka digelar sebagai bandar raya bersejarah kerana ia sememangnya merupakan sebuah negeri di Malaysia yang kaya dengan sejarah.
Boleh dikatakan segenap cerok pastinya mempunyai sejarahnya tersendiri dan salah satu tempat yang mempunyai nilai-nilai sejarah ialah Sungai Melaka.
Sungai Melaka merupakan sungai yang terpenting semasa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan ia mempunyai nilai sejarah yang tersendiri kerana di kiri kanan sungai itu merupakan kawasan perbandaran, penempatan, perkuburan, perniagaan, perkapalan, pelabuhan dan banyak lagi sejak ratusan tahun yang lalu.
Lantaran itu keputusan kerajaan negeri Melaka pimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk mengindahkan Sungai Melaka sebagai destinasi pelancongan adalah satu keputusan yang tepat dan ia pernah mendapat gelaran 'Venice of the East' daripada orang Eropah pada satu ketika dahulu.
Sungai yang muaranya terletak di Bandar Hilir itu menyimpan pelbagai kisah dan cerita bermula zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga peralihan masa kepada zaman penjajahan Belanda, Portugis, Inggeris dan Jepun.
Satu ketika dulu, Sungai Melaka pernah dilabel antara sungai paling tercemar di negara ini dan kini kerajaan negeri bangun mengembalikan kegemilangan Sungai Melaka.
Kegemilangan. Pelbagai usaha serta pendekatan dilakukan dalam usaha memulih dan mengembalikan kegemilangan sungai itu yang satu ketika dulu merupakan pusat dagangan utama di Asia Tenggara. Sedikit demi sedikit, wajah Sungai Melaka pada hari ini berjaya ditransformasi melalui peruntukkan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat sebanyak RM320 juta. Usaha tersebut ternyata tidak sia-sia apabila hari ini lebih banyak produk pelancongan baru ditambah seperti hotel bertaraf lima bintang, restoran eksklusif dan kedai cenderamata yang banyak dibina di sepanjang sungai.
Pemandangan Sungai Melaka pada waktu malam memang sangat menarik...
Ttransformasi tersebut turut meliputi usaha mengindahkan dengan konsep pencahayaan kawasan antara Jambatan Hang Jebat hingga ke Jambatan Hang Tuah. Dalam masa yang sama Jambatan Hang Tuah dan Jambatan Hang Jebat turut dinaik taraf, pembaikan jambatan pejalan kaki di Kampung Morten dan jambatan pejalan kaki berhampiran stesyen bas ekspres lama serta pembaikan Jambatan Tan Khoon Cheng selain beberapa projek pembangunan di kawasan muara Sungai Melaka.
Sekitar perkampungan tradisional Melayu Kampung Morten, juga disediakan laluan pejalan kaki di sepanjang Sungai Melaka yang dikenali sebagai River Boardwalk.
Tidak cukup dengan itu, dalam usaha merancakkan lagi kemasukan pelancong asing dan tempatan, perkhidmatan River Cruise Melaka telah diperkenalkan.
Eye On Melaka serta bangunan yang dilimpahi cahaya lampu merupakan salah satu senario yang dapat dilihat sepanjang perjalanan menaiki River Cruise Melaka.
River Cruise Melaka membolehkan pengunjung menyusuri Sungai Melaka dan kini ia muncul antara aktiviti pelancongan popular di negeri Melaka terutama di waktu malam.
Dengan menaiki River Cruise Melaka, anda dapat mengalami pelayaran menakjubkan sejauh enam kilometer menyusuri Sungai Melaka selama 45 minit.
Ketika anda menaiki River Cruise Melaka, anda akan dapat menikmati pemandangan bangunan dan rumah kedai peninggalan era Belanda, rumah-rumah tradisional Melayu dan banyak lagi pemandangan yang menarik peninggalan sejarah warisan dunia.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai tarikan baru turut diwujudkan di sepanjang sungai antaranya kincir air, Eye On Melaka, air pancut muzikal dan banyak lagi untuk mempopularkan lagi Sungai Melaka di pentas antarabangsa.
Yang paling menarik kincir air yang dibina pada tahun 2007 dan siap dibina pada tahun 2008 berstrukturkan teknologi Islam yang boleh diperoleh di Syria dan Lijiang, China.
Jelas Shaukani lagi, sepanjang perjalanan selama 45 minit itu, pelancong akan melalui tujuh jambatan iaitu jambatan Kampong Morten, jambatan stesyen bas espress lama, jambatan Hang Tuah, jambatan Pasar, jambatan Kampong Jawa, jambatan Chan Koon Cheng dan jambatan Tan Kim Seng.
Pelayaran dengan River Cruise Melaka akan bermula dari Taman Rempah ke Muara Sungai dan ia akan berakhir di Taman Rempah semula.
River Cruise Melaka menyediakan bot biasa dan bot khas di mana bot biasa orang dewasa akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 manakala kanak-kanak RM5.
Sementara itu untuk bot khas RM20 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak dan bagi bot khas ia hanya disediakan setiap hujung minggu dan bot tersebut turut disediakan hiburan.
River Cruise Melaka beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam.
Bagaimanapun hari ini, Sungai Melaka menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan malah turut dibanjiri pelancong asing yang terpegun dengan wajah baru sungai itu terutama keindahannya pada waktu malam.
Datanglah melawat ke Negeri Melaka dan marilah menaiki bot Melaka River Cruise, di mana ianya akan menjadi pengalaman yang paling menarik yang tidak dapat dilupakan.Anda pasti teruja..!
@gotomelaka.blogspot.com