Rumah Melayu asli Penghulu Natar, Merlimau.


TANGGA di rumah ini dihiasi dengan jubin yang diimport dari negara China.

RUMAH Penghulu Natar yang terletak di Merlimau, Melaka sudah berusia hampir dua abad. Namun, ia masih tegap dan gah di tapak asalnya. Sesungguhnya, ia kekal tersergam atas titik peluh dan kemahiran tukang kayu pada zaman dulu sangat mengagumkan.
Pewaris rumah bersejarah itu, Md. Ramli Md. Natar, 66, berasa bertuah. Dia telah mewarisi satu hasil seni bina yang dikatakan melampaui zaman dan warisan budaya.
Rumah persis Istana Melaka itu mula dibina pada tahun 1895 sebelum menjalani siri proses ubah suai dan siap sepenuhnya pada tahun 1918. Sesetengah penduduk Merlimau memberi jolokan rumah itu sebagai Istana Merlimau atau Rumah Merlimau.
“Datuk saya, Datuk Demang Haji Abdul Ghani Haji Abdul Majid dan ayah saya, Penghulu Natar berjaya melahirkan nilai-nilai estetika dan kehalusan pada rumah yang kami anggap sebagai satu yang luar biasa,” kata Md. Ramli. Ketika kedatangan Kosmo!, anaknya, Rizal, 37, yang merupakan pewaris seterusnya turut serta.
Mahkamah rakyat
Md. Ramli dengan rela hati membawa penulis meninjau isi dalam rumah yang penuh nostalgia itu. Rumah yang mempunyai pengaruh Palembang, Kemboja, Champa dan Filipina itu boleh disimpulkan sebagai unik.
Bentuk rumah itu mempunyai ciri Melayu tetapi anjungnya berbumbung limas. Rumahnya besar dua sebandung dengan dapur masaknya berbumbung lintang dan ruangnya juga sangat luas. Rumah besar dan dapurnya dipisahkan oleh sebuah pelantar simen, tiga buah anjung, serambi, dapur memasak dan perigi.
Perkara yang menarik dalam rumah itu ialah tiang serinya. Ia mempunyai tiang asas tetapi tiang tersebut telah dilapik dengan papan berlorek yang hiasi kelopak bunga. Tangga di hadapan rumah pula dihiasi dengan jubin yang diimport dari China.
Rumah Penghulu Natar mematuhi prinsip rumah Melayu asli yang mengekalkan tradisi seni bina alam Melayu. Rumah itu cukup luas tetapi tidak berbilik. Kata Md. Ramli, jika ia berbilik, rumah itu akan bertentangan dengan elemen rumah Melayu tulen.
Pada era dahulu, rumah tradisional bukan semata-mata dijadikan kawasan kediaman tetapi fungsinya umpama istana.

RUANG luas serambi rumah dijadikan sebagai Mahkamah Rakyat yang membicarakan kes-kes jenayah di Melaka pada zaman dulu.
Antara peranan penting ialah rumah itu juga bertindak sebagai Mahkamah Rakyat. Demang Abd. Ghani ketika itu telah diberi kuasa oleh pihak British untuk menyelesaikan dan membicarakan masalah sosial rakyat. Antara kes yang dibicarakan mengikut pertimbangan ialah kes mencuri, melarikan anak dara dan masalah tanah.
Lazimnya, Mahkamah Rakyat akan bersidang pada sebelah malam. Di belakang rumah itu juga, terdapat lokap untuk penahanan sementara, sebelum pesalah dihantar kepada pihak polis.
Pelamin kekal dan loteng
Md. Ramli menambah, rumah tersebut juga pernah dijadikan sebagai Pejabat Daerah dan Pejabat Memungut Cukai.
“Mesyuarat rasmi kerajaan selalu diadakan di sini. Pegawai British biasanya akan menaiki kuda untuk datang ke sini dan selalu akan bermalam di rumah ini,” katanya.
Perang Naning (1831-1832) dan Perang Rokam (1887) yang meletus di Serkam, Melaka telah menyebabkan British memaksa orang Melaka membayar cukai. Cukai yang dibayar dalam bentuk tunai atau hasil tanaman seperti padi dan kelapa turut berpusat di rumah bersejarah itu. Setiap hari ada saja cukai yang dihantar melalui kereta lembu ke rumah itu.
Sepanjang tinjauan Kosmo! di kawasan rumah tradisional itu, tumpuan jadi terarah ke kawasan tengah rumah.
“Itulah pelamin yang dibina secara kekal. Ia digunakan ketika masyarakat Merlimau melangsungkan perkahwinan,” terang Md. Ramli.
Pelamin itu mempunyai dua aras dan lengkap dengan pagarnya sekali. Ukirannya begitu menarik dan teliti. Pada masa dulu, di kiri kanan pelamin itu terdapat ukiran dua ekor naga yang dicat dengan warna emas.
Satu lagi ciri rumah Melayu yang terdapat di rumah Penghulu Natar ialah loteng.
PELAMIN kekal disediakan untuk upacara berinai mempelai wanita.

Lotengnya sangat luas. Untuk naik ke loteng berkenaan, sebuah tangga kayu disediakan.
Menurut Md. Ramli, biasanya ruang loteng itu menempatkan anak-anak gadis ketika majlis perkahwinan.
Inap desa
Baru-baru ini, Kerajaan negeri Melaka berhasrat menjadikan rumah tradisional Penghulu Natar menjadi produk pelancongan inap desa. Memetik kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, keunikan dan populariti rumah tersebut wajar dikomersialkan.
Menurutnya, usaha itu selain meningkatkan pencapaian industri pelancongan negeri, turut menyumbang kepada pendapatan negeri dalam sektor berkenaan.
“Amat wajar keunikan dan keistimewaan rumah ini diketengahkan kepada masyarakat luar terutama pelancong asing yang belum pernah melihat sendiri rumah kampung tradisional,” kata beliau.
Mohd. Ali sendiri terpesona dengan keunikan jubin lama dan saiz rumah itu yang boleh menampung kehadiran pelancong, termasuk mereka yang ingin bermalam.
Sementara itu, tokoh sejarah Melaka, Baharam Azit, 69, berkata, rumah itu perlu diawasi dan dijaga sebaik-baiknya supaya tidak lenyap ditelan zaman.
“Sejarah rumah ini harus dipelihara supaya terus menjadi kenangan bangsa dan kebanggaan negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment